Search This Blog

Imran Ajmain Kongsi Rahsia Lagunya Diminati Ramai


Imran Ajmain bukan lagi nama kecil dalam bidang seni suara tanah air. Penyanyi yang berasal dari Singapura ini tidak pernah jemu berkarya dan suaranya masih memikat halwa telinga dengan lunak suara yang merdu.
Bertempat di Red Box The Garden, Kuala Lumpur, Imran Ajmain telah melancarkan ‘single’ dan  muzik video karaoke terbarunya berjudul “Dikalung Kasihan”. Ia merupakan single pertama dari album ketiga nyanyian dan terbitan Imran Ajmain, dan telah dicipta oleh penggubah tersohor tanah air, Azlan Abu Hassan dan B.Azhar.

Lagu ini telah pun diperdengarkan di dalam telefilem “Senandung Cinta Semalam” di Slot Cerekarama. Jelas Imran selepas lagu itu diperdengarkan, dia mendapat maklum balas yang positif daripada peminat dan boleh dikatakan ramai yang menyukainya.
“Album kali ini agak berbeza kerana ia memuatkan lagu-lagu yang digubah oleh komposer lain seperti Azlan Abu Hassan dan Altimet, saya cuma menyampaikan sahaja,” ulas Imran.
Menurutnya lagi muzik video ini, hasil idea dan kreativitinya bersama pengarah muda Nasrullah Napi telah menelan belanja sebanyak 15 ribu ringgit.
Antara lokasi dalam pengambaran video muzik ini adalah sekitar Alor Setar, Jitra, Genting Highland dan Singapura. Semuanya dirangkumkan menjadi satu video muzik yang menarik dan bedasarkan penceritaan yang ingin disampakannya.
“Sumber ilham video muzik ini adalah berdasarkan novel dan filem “Atonement” yang menceritakan percintaan berdasarkan belas kasihan. Saya mahu mencari kelainan kerana selalunya kalau lirik dan video muzik melibat kan percintaan mesti disebabkan cinta yang indah atau sebaliknya, tetapi kali ini melibatkan belas kasihan,” tambah Imran lagi.
Imran berkata, lagu-lagu balada seperti “Seribu Tahun” dan “Selamat Ulang Tahun Sayang” sebelum ini menjadi siulan ramai kerana formula khas yang diamalkannya dalam penghasilan lagu-lagu.
“Saya berpegang kepada tiga rahsia dalam menghasilkan lagu yang berkesan  iaitu melodinya mesti mudah diingati, tempoh satu minit sebelum korus harus menarik perhatian dan kekerapan menyanyikannya lagu sehingga ia melekat dalam fikiran pendengar,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama Imran Ajmain sempat beramah mesra bersama ahli kelab peminatnya iaitu Imtiaz sebagai tanda penghargaan atas sokongan mereka sepanjang bergelar anak seni selama ini.
Bagi yang gemar berkaraoke jangan lupa untuk ke Red Box untuk mendapatkan muzik video karaoke “Dikalung Kasihan”.


SES by business degree online promotion team.